alam berwarna indah itulah warna-warna kehidupan insani

alam berwarna indah itulah warna-warna kehidupan insani

Ahad, 17 April 2011

Baiti Jannati

Berikut adalah seni-seni memikat yang selaras dengan kehendak Islam. Al-Fadhil al-Ustaz Rusli Md. Zain al-Farqawi, Mudir Darul Quran Klang, Selangor akan menghuraikan tujuh perkara yang perlu diberi perhatian:


1- Yakin dan bukan menunjuk-nunjuk : memikat dan menarik calon pilihan hati haruslah dengan yakin supaya yang dipikat tidak berasa tertipu. Jika ada unsur kepura-puraan, wanita mungkin akan teraniaya. Hubungan yang ada unsur menipu ini atau cinta monyet biasanya tidak bertahan lama.


2- Permerhatian : pemerhatian mestilah yang dibenarkan dalam Islam iaitu melalui pemerhatian jauh atau merisik. Gunakan orang tengah yang kita percaya untuk menyelidik latar belakang calon pilihan kita.


3- Pembuktian : calon yang hendak dipikat telah dipersetujui. Calon juga tahu yang kita sedang memikatnya. Buktikan kesungguhan kita memikatnya.


4- Keikhlasan : memikat biarlah secara semulajadi. Tidak perlu menggunakan skrip. Persahatan mestilah kerana Allah. Teguran yang dilakukan pasangan mestilah kerana Allah tanpa ada unsur-unsur cemburu, dengki dan bernafsu.


5- Penambahbaikan : perhubungan tidak semestinya memerlukan jangka masa panjang. Pada waktu ini, syaitan cuba menggoda supaya kita menyimpang. Oleh itu, ilmu mesti disisipkan dalam sesuatu perhubungan.


6- Konsisten (Istiqamah) : terima kelebihan dan kekurangan pasangan kita serta keluarganya. Setiap pasangan akan diuji dengan pelbagai ujian. Walau apa pun yang berlaku, perasaan kita terhadap pasangan haruslah konsisten.


7- Elakkan cinta monyet : cinta monyet hanya sebentar. Antara ciri cinta monyet ialah bertukar-tukar pasangan dan syok sendiri. Dalam cinta monyet, wanitalah yang akan teraniaya.


Tindakan Selepas Berjaya Dipikat


1- Kelangsungan dan kesinambungan : setelah melalui semua proses di atas, sesuatu perhubungan mestilah disegerakan (dilangsungkan proses perkahwinan) bagi menutup pintu-pintu fitnah dan dosa.


2- Kurangkan pertemuan : ini bagi mengelakkan timbulnya fitnah dan prasangka buruk semua pihak.


3- Tingkatkan perancangan : pada masa yang sama, pasangan haruslah berusaha meningkatkan kefahaman terhadap diri pasangan masing-masing. Telitikan perancangan untuk berumah tangga kelak.


4- Tingkatkan kekerapan menghadiri majlis agama : kursus perkahwinan mesti disusulkan dengan menghadiri kuliah-kuliah agama yang lain untuk memantapkan iman. Bacalah buku-buku agama terutama yang berkaitan institusi berumah tangga.


5- Mendekati Tilawah al-Quran : pasangan sepatutnya belajar al-Quran dari satu juzuk hingga 30 juzuk sebelum berkahwin. Majlis khatam al-Quran haruslah dilakukan oleh si lelaki mahupun perempuan. Yang banyak berlaku ialah hanya pengantin perempuan sahaja yang melakukan majlis khatam al-Quran pada majlis perkahwinan mereka.


6- Berdoa selepas membaca al-Quran : Sabda Nabi Muhammad SAW, “Berdoa sesudah membaca al-Quran akan diaminkan 4000 malaikat manakala berdoa sesudah khatam al-Quran pula akan diaminkan oleh 60 000 malaikat Allah.” (Riwayat ad-Damiri dan ad-Dailami)

Amalkan juga solat sunat dhuha, membaca Ayat Seribu Dinar dan surah al-Waqiah setiap hari sebelum dan selepas dipikat.


7- Kukuhkan ekonomi : Pasangan harus meningkatkan ekonomi mereka seperti mencari pekerjaan yang stabil, meningkatkan produktiviti pekerjaan dan sebagainya.


8- Tingkatkan kualiti kerjaya : Jangan pula apabila berkahwin, kualiti kerja kita merosot kerana terlebih fokus kepada isteri. Kualiti kerja perlu lebih maju sehingga boleh diberi penghargaan seperti kenaikan pangkat atau dijadikan contoh kepada pekerja-pekerja lain.


9- Cari kualiti masa : Buatlah pembaikan dari semasa ke semasa terhadap pasangan masing-masing. Bertanya khabar amat penting supaya pasangan tidak berasa terabai. Berikan kata-kata pembina semangat, bukan ungkapan rindu yang boleh menaikkan nafsu syahwat.


10- Letakkan moto kehidupan : Nabi SAW ada mengingatkan kita iaitu lima perkara sebelum lima perkara: Sihat sebelum sakit, muda sebelum tua, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sibuk dan hidup sebelum mati



wallahua'lam