alam berwarna indah itulah warna-warna kehidupan insani

alam berwarna indah itulah warna-warna kehidupan insani

Selasa, 20 September 2011

Dan Kutemukan Cinta Sejati - Akhir

Dan Kutemukan Cinta Sejati - Akhir | iluvislam.com + discover the beauty of islam




Kertas imtihannya yang terakhir tinggal beberapa hari sahaja lagi. Kepalanya masih berat. Berat dengan tuntutan untuk menamatkan pengajian sarjana mudanya dan juga berat dengan tanggungan hati. Sekali-sekala perasaannya masih berbaur. Hatinya benar-benar merajuk.

Beberapa panggilan telefon daripada Wasif tidak dijawabnya. Kali terakhir dia menemui Wasif lebih kurang empat minggu yang lalu sebelum minggu peperiksaan bermula. Selepas itu, Wasif hilang. Dia pelik apabila SMSnya diabaikan begitu sahaja. Bahkan dia seperti sengaja pula mahu mengelak daripada bertemu dengan dirinya. Tetapi kini dia telah temui jawapan, jawapan yang hampir-hampir menghentikan degupan jantungnya.

**********************************

Assalamu'alaikum w.b.t.
Kehadapan adikku Sakinah,
Apa khabar adikku di sana? Abang doakan moga perlindungan dan rahmat Allah akan selalu memayungi dirimu.
Abang di sini baru sahaja menamatkan minggu orientasi. Letihnya bukan kepalang. Aduih.. Rindu betul dengan kampung Permatang Gading tempat kita berkubang dulu-dulu itu.

Matanya serasa bergenang. Sakinah menarik nafas mengumpul kekuatan. Matanya tertumpu ke baris-baris akhir daripada Wasif beberapa tahun yang lalu.

Sakinah, sebenarnya, sejak abang ke mari, abang selalu teringatkan seseorang. Abang harap orang itu juga teringatkan abang.
Abang selalu titipkan namanya lewat doa abang. Abang harap, suatu hari nanti, abang akan dapat menyunting dirinya sebagai permaisuri hati abang.

Tatkala itu segala kekuatan yang ditahannya sudah tidak ada lagi. Surat itu dikeroyok-keroyoknya. Sakinah kecewa. Kecewa! Betapa selama ini dia mengosongkan hatinya hanya untuk Wasif. Tetapi kini Wasif telah berpaling tadah dari janji-janji yang pernah dilafazkannya suatu masa dahulu!

*********************************

"Dan janganlah kamu mendekati zina. Itu pesan Allah di dalam kitab-Nya, ya Sakinah. Jangan dekat, bukan jangan buat. Zina itu ada macam-macam jenis, Sakinah. Bukanlah berdua-duaan, bersentuhan di antara yang bukan mahram itu sahaja yang dikatakan permulaan zina, tetapi sekadar lintasan fikiran dan hati juga adalah merupakan kunci kepada zina. Apalagi angan-angan dan juga harapan yang kosong." Lembut Fauziah memujuk.

"....sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)." Surah al-Isra', ayat 32. Kerana itulah kita dilarang untuk bermain cinta sebelum bernikah. Kerana ia lebih banyak membawa kesudahan yang buruk daripada yang baik kepada hati."

Sakinah teresak-esak. Malam itu dia luahkan segala-galanya kepada Fauziah, sahabat baiknya itu. Usai imtihan terakhirnya petang tadi, dia cepat-cepat mencari Fauziah. Dadanya yang seperti empangan yang hendak pecah itu sudah tidak terbendung lagi.

"Aku tahu Fauziah. Tapi perasaan aku terlalu kuat pada dia. Aku dah tak ada sesiapa lagi di dunia ini, Fauziah. Sejak kecil aku memang rapat dengan dia. Dialah segala-galanya bagi aku. Dia dah berjanji nak ambil aku sebagai isteri dia, Fauziah. Aku tak rasa aku boleh terima lelaki lain selain dia..."

Air matanya masih berjuraian seperti tidak mahu berhenti. Malang benar rasa dirinya.

"Iya sayang, aku faham. Tapi hukum dan takdir Tuhan jangan kau belakangkan. Percayalah, pasti ada hikmah di sebalik kejadian ini. Masih ada ramai lagi lelaki yang baik di luar sana untuk kau. Kau hanya perlu berdoa dan berserah saja kepada-Nya."

"Tapi Fauziah, macamana aku nak lupakan dia? Susah. Sakit kau tahu, tak?"

"Sakinah. Allah itu maha penyayang, Dialah Tuhan yang penuh dengan cinta. Apa kau fikir cinta itu datang dengan sendiri? Apa kau fikir cinta yang ada dalam hati kau itu bukan Dia yang memberi?"

Sakinah tersengguk-sengguk.

"Bukalah mata hatimu Sakinah. Jangan kau kelabui ia dengan cinta yang tidak tentu hujung pangkalnya. Jangan kau hiasi hatimu dengan cinta nafsu dan cinta yang tidak halal bagimu. Kau pelajar bidang agama bukan? Jadi kau sepatutnya tahu. Kau sepatutnya lebih faham. Jika Dia boleh memberimu cinta, maka Dialah juga yang bisa menarik cinta itu kembali. Percayalah Sakinah. Dia menguji hamba-hamba-Nya kerana cintanya Dia kepada hamba-Nya."

Tangisan Sakinah semakin melebat.

"Sakinah, mintalah kepada-Nya supaya ditarik kembali rasa cinta itu. Berserah bulat-bulat hanya kepada-Nya dan usah kau harap pada yang lain. Manusia hanya pandai berkata-kata, Sakinah. Cintanya tidak pernah kekal. Sealim-alim Wasif itupun, jatuh juga ke kancah percintaan. Sebaik-baik diapun, dia tetap juga meninggalkanmu.

Tetapi Sakinah, ingatlah, Allah tidak pernah sedetikpun meninggalkanmu. Bahkan Dia sentiasa pula menantimu untuk datang bercinta dengan-Nya. Selama ini Dia ambil keluargamu dan pinjamkan pula keluarga Wasif sebagai kekuatan kepadamu. Tapi sekarang, kau sudah boleh berdiri sendiri kan? Jadi sekarang Dia ambil kembali kerana mereka semua milik Dia, Sakinah. Tiada apa di dalam dunia ini yang mutlak milik kita."

Sakinah menangis semahu-mahunya.

"Ya Allah.... Zalimnya daku kepada-Mu ya Allah...."

Fauziah memeluk Sakinah.

"Malam ini aku temankan kau. Kita qiamullail sama-sama ya... Aku tahu, kau kuat. Kau boleh hadapi semua ini, kerana kau adalah hamba pilihan kesayangan-Nya." Fauziah menepuk-nepuk belakang Sakinah, cuba memberinya kekuatan semula.

*************************************

"Sakinah, kita dah sampai ni." Fauziah mengejutkan Sakinah yang terlena di sebelahnya. Sakinah terpisat-pisat bangun.

Jelas di ruangan matanya rumah tempat dia pernah bermain kejar-kejaran dengan Wasif sewaktu kecilnya dahulu. Rumah itulah syurganya, rumah itulah jua nerakanya.

Sakinah tersenyum sambil mencubit pipi Fauziah, "Terima kasih sayang! Hehe.."

Sakinah keluar daripada kereta sambil menjinjing plastik yang berisi kotak hadiah. Kanak-kanak berkejaran riang di sekelilingnya. Khemah-khemah tersergam indah dihiasi dengan renda berwarna ungu dan putih.

Kelihatan dari jauh, Wasif Husnuddin yang segak berpakaian songket bersama dengan isterinya, Masyitah yang sedang berbual-bual mesra dengan beberapa orang tetamu yang hadir.

Fauziah mengenggam tangan Sakinah seeratnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan