alam berwarna indah itulah warna-warna kehidupan insani

alam berwarna indah itulah warna-warna kehidupan insani

Isnin, 14 Januari 2013

MENCARI BAHAGIA

Bismillahhirrahmannirrahim

Semoga kita terus dimuliakan oleh ALLAH sebagai umat Nabi Akhir Zaman Muhammad SAW.



Sekadar perkongsian bicara dari telinga yang mendengar khabar untuk jiwa yang gersang dari pencerahan sedang iman kadang tunggang-langgang dan hati pula berbolak-balik yang akhirnya tindakan penuh dengan dolak-dalik.



Andai dapat diputarkan kembali masa, aku ingin sekali meminta kekuatan dalam segala tindak-tanduk. Kerna aku aku ini lemah. Lemah tidak berdaya. Terkadang rasa seperti lilin yang membakar dirinya sendiri. ALLAH… inilah yang dinamakan ujian. Sedang leka diulit dengan kebahagian sementara untuk menuju hakiki, inilah yang berlaku. Hati, jiwa, minda sungguh rawan. Lilin itu kuandaikan kerana ia membawa erti yang tersendiri.



Sedang dalam kegelapan, lilin dinyalakan untuk menerangi, memberi kehangatan kala sejuk menggigit tulang. Ah… bahagia sungguh apabila aku dapat membahagiakan mereka yang memerlukan. Asyik sungguh dengan cahaya dan kehangatan api si lilin. Entah sepanjang mahupun sebanyak mana lilin dinyalakan ia tetap habis. Mencair dan terus mencair. Apinya malap dan padam. Sirna. Gelap dan kelam, sejuk dan dingin menguasai kembali. Mencari lagi lilin?



Oh lilin… mengapa engkau rela berkorban untuk kebahagian mereka sedang engkau sendiri tidak bisa kekal untuk terus memberi khidmat? Apakah engkau tidak merasa sesuatu setelah siang menjengah tiba, panas menghilangkan dingin kala matahari mula menampakkan wajah? Tidakkah engkau merasa bahawa engkau hanya digunakan kerana perlu. Jika tidak, maka tidak sama sekali. Andai lilin mampu bertahan begitu…berkhidmat kerana ketetapan…. tapi tidak manusia… hatinya rapuh. Kadang membantu penuh niat keduniaan. Mencari nama semata tiada ikhlas. Apakah nilaian dan ukuran ikhlas? Jika dia merasa engkau diperlukan maka engkau akan dicari jika tidak maka tidak. Apakah keperluanmu? Zahir? Batin? Lahiriah? Rohaniah? Fizikal? Mental? Rasa itu tercetus dari hati. Memang. Sukar untuk memuaskan hati-hati… hati dia juga hati kita sendiri. Apakah itu ketetepan ciptaan manusia?

“allah menciptakan jin dan manusia agar mereka bersujud, bertasbih serta memuji allah siang dan malam”

Kegelapan itu membuatkan manusia sungguh mencari lilin. Yang terperosok di dalam laci dibongkar. Yang habis digagah ke kedai. Yang beralut sawang dibersihkan. Sumbumu mula dinyala. Andai tidak ternyala, engkau dibelai agar terapi dan mudah untuk dinyala. Andai sedemikian hati manusia untuk memiliki bahagia, bahagiakah ia selamanya? Mampukah ia terus memberikan bahagia bila bahagianya dicari tika perlu?



Tetapi aku bukan lilin. Manusia yang punya hati serta jiwa. Naluri yang kadang peka yang kadang tidak. Hati ini lemah. Jiwa ini longlai. Longgar kerana daif dan naif tentang cinta hakiki. Hakikatnya yang hakiki itu telah tercampur-baur tidak teradun sebati. Entah… aku sendiri masih lagi mencari dimana titik kebahagian… Sebarkan bahagia untuk mendapat kebahagian??Kerana cinta perlukah aku berkorban? Atau aku ini buta dalam menilai cinta? Atau cinta itu telah membuatkan aku buta untuk membuat penilaian? Sedalam mana ikhlas aku dalam bercinta? Kalau aku ini si lilin, adakah aku membahagiakan orang tanpa menghirau kebahagian sendiri?bagaimana aku bisa membahagiakan mereka disekililingku andai aku sendiri tidak tahu untuk bahagia, erti bahagia… Bagaimana aku perlu meraih bahagia andai mereka tidak pernah terfikir untuk membahagiakan aku?



Orang kata kita tidak bahagia selagi kita tidak tahu bersyukur… kita tidak bahagia kalau tidak tahu menghargai kebahagian. Apakah rupa bentukmu wahai sang bahagia? Bagaimana bisa aku mendapatkanmu wahai sang bahagia? Adakah membahagiakan yang lain itu erti aku telah beroleh kebahagiaan?

~~oh bahagia…bahagia…~~ Najwa Latiif

Yang aku tahu, aku tak mampu. Tak kuat. Tak hebat. Tak perkasa. Tak boleh. Ntuk terus menjadi lilin. Kerana aku juga memerlukan kebahagian agar bahagia itu tersebar. Agar aku tegar untuk terus memberikan bahagia. Justeru aku takut andai bahagia itu gersang, tandus lantas aku sendiri tersungkur dalam memberikan bahagia kepada orang lain.



“kalau kanda jadi bulan dinda jadi apa?”



“mestila dinda menjadi bintang.”



“kalau kanda menjadi matahari, dinda jadi apa?”



“dinda mahu jadi awan.”

Kata dia…cinta itu membahagiakan. Menenangkan. Menyenangkan.


Itu juga kata aku. Dulu kini dan akan datang bila aku tahu apa itu bahagia. Bagaimana mendapat dan memberikan bahagia pada jalan yang betul dan benar. Lillahi.



Cinta kan ALLAH dan Nabi Muhammad itu sungguh asyik. Tenang dan senang. Mentaati segala perintahNYA dan amalkan sunnahnya. Jiwa sungguh damai dan tenang.



Dia pernah bertanya kepada ku adakah aku bahagia… aku menjawab ya… tapi. Itu sekadar jawapan palsu. Hakikatnya tidak sama sekali. Kerana kahadiran aku sesungguhnya tidak pernah membuatkan engkau bahagia. Bahkan derita dan dosa terus menyapa tanpa dipinta. Kerana itu juga aku tidak merasa bahagia kerana memberikan engkau dosa dan derita. Aku pula tidak pernah bertanya adakah dia bahagia bersamaku bahkan dia sendiri sering berkata sangat bahagia adanya aku... kerana apa aku tidak pernah bertanya? Kerana ada gusar… Gusar andai aku menambahkan dosa-dosa yang ada. Gusar kerana aku yakin tiada bahagia pun yang aku beri. Sungguh!! Jadi apa yang aku beri selama ini???

Ya… disini aku temui jawapan… tidak memberikan engkau bahagia tetapi dosa membuatkan aku juga tidak merasa bahagia… Analoginya, aku memasak masakan kegemaranmu tetapi tidak enak. Engkau makan tapi tiada kenyang. Lantas perutmu terusan lapar… gi mana??? Bagaimana aku dapat menjadikan masakan kegemaranmu itu enak agar engkau suka dan kenyang akannya? Bagaimana aku dapat mengubah ia menjadi sebuah bahagia? Justeru… aku minta pada ALLAH… andai pernikahan itu tidak berlangsung, aku sama sekali tidak mahu bercinta denganmu dengan penuh kelaghaan. Aku yakin akulah manusia yang paling rugi dan bodoh…



Tidak pernah sama sekali manusia menyalahkan lilin yang dicipta untuk menerangi kala kegelapan. Gelap itu menakutkan. Gelap itu kesulitan… kerana itu manusia mencari lilin.



Begitu juga hati… hati yang gelap mudah rapuh. Memberontak minta diterangi. Hanya jalan dan usaha yang membezakan ia. Begitu juga aku… mulanya aku pagar agar hati ini tidak sewenangnya terlepas bebas. Mengenali dia membuatkan aku terus waspada. Dia juga berhati-hati… Entah… Ujian dan dugaan itu datangnya dalam banyak bentuk. Bayangnya bahagia tapi jasadnya derita. Itulah salah satunya. Kerna itu bila aku tidak bahagia aku tidak menyalahkan dia. Bahkan aku menyalahkan diri sendiri. Dia merasa bahagia dengan kehadiranku tapi aku tidak kerana wanita itu dicipta sebagai ujian kepada lelaki. Dan aku adalah wanita itu. Andai dia bahagia, aku yakin itu cuma bahagia yang palsu. Yang tidak hakiki. Tidak wujud sama sekali. Bahagia aku bila dia membahagiakan aku dengan cara yang halal. Bahagia dia jika aku hadir dalam keadaan yang halal. Bahagia aku bila dia mampu menerima aku seadanya tanpa ada cacat-cela dimatanya yang minta aku berubah dan diubah. Bahagia aku bila aku mampu dengan upaya menerima dia seadanya. Perubahan itu bukan dibuat dengan complaint yang menyakitkan. Berpijak di bumi yang nyata duhai mata hati ku…



ALLAH. Aku khilaf. Khilaf dalam mencatur hidup ini. Khilaf dalam memainkan peranan dalam kehidupan orang lain. Aku tidak bahagia kerana aku memberikan derita kepada orang lain. Termasuk kedua ibu bapaku. Mereka yang menanggung segalanya ini. Tuhan……… pantas aku tidak merasa bahagia… ALLAH HU RABB…



Tiba-tiba soal bahagia ini kubongkar dari dalam lubuk hatiku. Ingin benar aku selami sejauhmana aku bahagia dan membahagiakan. Rupanya… ia sungguh hodoh kerana aku cemari dengan kerakusan hidup tanpa syariat yang kukuh. Ya… memang aku memegang syariat, tapi ada yang longgar. Ada yang tidak luhur. Mungkin kerana ketelusan itu aku biarkan tanpa dipancang. Aku menyoal diri aku sendiri sejauhmana aku bahagia dengan keadaan sekarang. Dengan perasaan ini dan dengan segala-galanya. Semakin aku selidiki aku semakin mencurigai. Dan aku tahu aku terlalu leka sehingga bahagia yang datang sekejap-sekejap itulah derita berpanjangan rupanya… derita itu bukan derita fizikal mahupun jasad. Tetapi derita jiwa. Rouh. Hati. Mental. Sungguh… benar… manusia itu sering berada dalam kerugian… dan aku juga… lailahailla anta subhanaka inni kuntumminazholimin~~~ ALLAH… lemahnya…



Aku kembali menyoal… adakah aku akan menerima dan mendapat bahagia pada masa hadapan? Dan soalan ini masih bermain-main dibenak… entah aku layak atau tidak. Entah aku masih menelosori perjalanan untuk mendapat bahagia. Dan ia membingungkan hati bila perasaan turut serta dalam pencarian ini…



“ALLAH yang memegang hati dan jiwa ini, jangan Kau bolak-balikkan ia kala cahayaMU menerobos mudah kedalam sanubariku. Tetapkan aku redha, pasrah dan berserah dengan ketetapanMU. Tetapkan aku untuk yakin dengan ketetapanMU. Damaikan hatiku. Tenangkan jiwaku.



Ya ALLAH Ya Latiif, lembutkan hatiku untuk mencari dan mendapatkan bahagia mu dengan kebahagian yang sebenar walau likunya itu sukar dan sesah. Ya ALLAH Ya Rahim, Ya Rahman… tegarkan aku. Kuatkan aku kalau ada arus yang tertongkah dilaluanku kepadamu. Tetapkan hatiku, jiwa dan ragaku untuk terus yakin berpegang teguh dengan ad-dinMu, tetapkan akidahku di landansan keimanan kepadamu. Mantapkan taqwaku imanku kalau jiwa tiba-tiba tersiat dengan kedukaan. Ya ALLAH, sungguh. Aku lemah dan terlalu lemah. Lemah dengan segalanya. Hanya engkau yang Kuat, yang Hebat, yang Perkasa.



Ya ALLAH ya Ghaffur…ampunkan aku. Ampunkan aku. Ampunkan aku. Ampunkan aku atas segala kekhilafan ku kealpaanku dalam mengingatiMU. Jadikan aku yang terbaik untuk dia, dia jodohku. Agar aku menjadi hamba yang setia di jalan ad-dinmu. Menjadi isteri yang setia dengan dia untuk mendapatkan redha dan magfirahmu. Menjadi anak yang setia kepada bonda dan ayahdaku. Menjadi menantu kesayangannya yang penyantun dan berbudi. Menjadi wanita yang setia dalam tindak-tanduknya. Menjadi bonda, nenda dan seterusnya yang baik hati dan penyanyang kepada keturunanku. Menjadi kecemburuan buat bidadari-bidadari di SyurgaMU kelak. ALLAH yang maha kuasa ke atas segalanya. Itqanku hanya engkau yang tahu. Padaku ia telah cukup baik dan Engkau jua yang tahu ia tidak lagi cukup baik untukku. Dan padaku ia tidak cukup baik untukku justeru Engkau juga yang tahu itulah yang terbaik buatku. Semoga dia juga menjadi yang terbaik untukku sebagai jodohku."

Ya ALLAH, sempurna itu wujud bila menyatu untuk sebuah perkongsian. Memberi untuk menerima. Kongsi untuk sama merasa. Maafkan aku kerana memusnahkan kesucian perasaan, naluri dan hati yang luhur. Pantaskah aku ya ALLAH? Apakah benar perasaan ini terhadapnya? Luhurkah hati ini kepadanya? Duhai hati dan jiwa… bertenang… Ya ALLAH… inikah tanda kafarah ke atas dosa-dosaku… andai iya, aku redha dan sungguh aku mahu redha…”



Mood DIY aku hilang melayang. Entahlah… aku masih berfikir. Berfikir dan berharap pada ALLAH. Yakinkan aku dengan pilihan aku. Agar akal yang satu ini tidak tewas dengan nafsu yang sembilan. Perkahwinan bukan suatu yang boleh dicuba. Ia dilakukan untuk mewujudkan kesefahaman dan perkongsian yang bahagia dan membahagiakan. Menerima dan memberi. Entah… tiba-tiba aku gusar dan resah. Sesak dan sesah usah dikata. Aku bertanya kepada diri sendiri… bahagiakah aku hari ini? Bagaimana pula kemudian? Bagaimana cara untuk aku membahagiakan kedua orang tua ku sedang aku asyik memberi mereka dosa yang tidak terlihat? Benar. Sukar untuk memenuhi kehendak sendiri dan orang lain. Aku ingin cuba. Dan niat itu telah bercampur dengan fikiran yang bercampur. Ada positif dan negatif. Ada pro dan kontra.



Tiba-tiba terluah pertanyaan ku kepada mereka… apa dan mengapa engkau menyukai atau mencintai seseorang? Kenapa dan mengapa menyukai aku? Bagi aku menyukai aku engkau akan memberikan bahagia kepada ku. Dan ukuran bahagia padaku adalah dengan memenuhi keinginan ku yang mana perlu dipenuhi. Iaitu membahagiakan orang tuaku dengan permintaan mereka… walaupun mereka tidak begitu kisah namun aku yang terkisah. Kisah, kerana itu nisbah kebahagiaan aku, engkau dan mereka…

Menyukai ku bagiku engkau akan berusaha keras untuk mendapatkan ku walau semahal mana aku pertaruhkan. Tetapi, aku bukanlah untuk dijual lalu menjadi hamba dalam kehidupanmu. Melepaskan ku dengan lafaz-lafaz yang haram bagiku. Sungguh aku tidak mahu… semahalnya aku hanya kerana engkau yang aku ingin miliki… tetapi engkau tidak tahu dan rela untuk mencaturkannya jika perlu. Sungguh… ia sungguh merobek perasaan dan keyakinan ku… bukan aku tidak tahu wanita yang baik untuk dikahwini ialah yang murah maharnya… ya… itu aku tahu…sangat tahu dan teliti tentangnya… entah. Mungkin silapku memandangnya sehingga aku terasa ia adalah suatu percaturan. Sungguh… itu buat aku kesel dan lelah. Dan keadaan itu seterusnya membuatkan aku terasa menjadi bebanan buatmu kini dan juga akan datang. Sungguh aku tidak mahu menjadi bebananmu…



Dan pertanyaan itu aku ajukan semula kepada diri sendiri. Aku berdialog di atas sejadah. Mencari jawapan yang paling telus. Apa yang membuatkan aku suka akannya? Rupanya? Hartanya? Keturunannya? Agamanya? Jika aku memilih kerana keturunannya nescaya aku merasa sangat tidak layak. Kerana aku ini orang biasa-biasa. Orang kampong yang tak punya apa-apa. Hidup dalam fikiran kekampungan dan identiti kampong itu terserlah. Jika aku memilihnya kerana hartanya nescaya tidak kerana dia bukan orang yang mampu untuk memenuhi segalanya kehendakku jika aku ini kuat nafsu dan materialistik. Sungguh. Dia tidak akan mampu. Jika kerana rupa…ya… ada sedikit rupanya yang membuat aku senang dan tenang. Tapi aku tidak menjadikan ia syarat utama kerana aku tahu suatu saat nanti ALLAH akan menarik rupanya. Wajahnya akan beransur-ansur berubah. Tapi aku memilihnya kerana agamanya. Kerana aku yakin dengan pegangannya. Aku yakin dengan keimanannya. Jika dia bukan seorang yang kasih dan sayang pada masjid dan solat jemaah di masjid, maka aku akan menegurnya kerana aku mahu dia jadi yang terbaik berjalan ke syurga ALLAH memimpin ku bersama anak-anak… tapi segala ciri itu penting demi kelangsungan hidup dalam baitulmuslim. Tiada harta juga tidak boleh jadi. Tiada keturunan juga tidak bisa. Tiada rupa juga tidak boleh. Tapi jika tiada agama memang semua hancur… makanya aku cuba untuk memilih dia… dan pilihan ini aku sandarkan dalam istikharahku… dan aku cuba untuk ikhlas menerima dia seadanya dia. Agar kelak kami saling melengkapi.



Dan pertanyaan itu juga aku alunkan kepadaku sendiri kenapa dan mengapa dia menyukaiku. Mencintaiku. Adakah ikhlas atau terpaksa… sungguh buruk perilakuku kerana mencurigai dan meragui…curiga dan ragu itu wujud kerana aku perlukan kepastian dan keyakinan. Kekukuhan dan kejituan. Agar keputusan yang kami ambil ini bukan untuk memuaskan sebelah pihak sahaja.



“duhai hati-hati yang sedang meronta… sabar dan tabah. Yakin dan pasti. Andai itu yang ALLAH tetapkan, maka tetaplah untuk redha. Bersama dan bergabung untuk mencetus perkongsian yang bahagia dan membahagiakan. Bukan derita yang dicari dalam penyatuan ini tetapi tautan mahabbah suci menjadi destinasi hakiki. Wahai pemilik tulang rusukku, andai benar engkau untukku, redhalah atas apa yang aku miliki, kerana sungguh hati wanita seperti aku ini terlalu lemah dan sering gusar. Sering diancam rasa was-was. Duhai pemilik hati dan jiwa yang kekal abadi, tetapkanlah aku dijalan ad-dinmu bersama dia yang bakal menjadi imam buatku dan zuriatku… hilangkan rasa was-was ini dan yakinkan aku dengan ketetapanmu. Engkau yang tahu betapa sukar untuk aku melontarkan segalanya kerana aku hanya hamba yang lemah lagi naif lagi daif tentang segala perkara. ALLAH yang maha bijaksana dan mengetahui… bimbinglah hati kami. Redhakanlah. Berilah jalan untuk menyatu andai itu yang terbaik untuk kami. Sungguh. Aku, kami ingin berhenti dari segala kedustaan bahagia yang sementara ini. Aamiin ya ALLAH… Aamiin ya Rabbal A’lamin…”

Alhamdulillah tenang itu terasa bila redha ibu bapa bersama-sama redha ALLAH memujuk hati dan jiwa... inshaallah...redha itu manis sebab aku ingin manis bersamamu...duhai bakal zaujku, inilah yang dinamakan ujian. Kita tenang bersama menyahut ujian ini ya...

Words of today:

Perkongsian ini sekadar perkongsian untuk mencerahkan jiwa dan hati sendiri. Mudah-mudahan ia memberi manfaat kepada sesiapa juga yang memerlukan kerana soal hati dan perasaan ini adalah bahagian yang paling sukar untuk dimengertikan. Pencerahan dan muhasabah itu perlu agar hati tidak terikut dengan nafsu dan akal perlu arif untuk menghadapinya. Perkongsian ini juga adalah sekadar pencerahan kepada kekusutan yang melanda sejak kebelakangan ini. Persoalan-persoalan yang dibangkitkan adalah untuk pencerahan dan pemikiran mendalam dalam mengetahuinya. Sungguh ilmu ALLAH yang lebih luas dan kita sebagai manusia biasa tidak berdaya apapun melainkan usaha, itqan, doa dan tawakkal. Inshaallah..semoga ia sama bermanfaat… buat yang terasa saya mohon maaf. Buat yang salah faham apakah saya menyokong couple atau tidak juga mohon maaf. Entri ini juga bukanlah sebuah manifestasi konon cinta versi islamik. Cinta itu fitrah dan saya cuba untuk keluar dari fitnah. Ini sekadar perkongsian sebab dan akibat. Saya mohon agar kita sama-sama keluar dari fitnah ini dengan jalan yang mudah lagi diberkati kerana sesungguhnya syaitan tidak pernah puas dengan godaannya untuk menjauhkan manusia dari ALLAH. Dan semoga khitbah saya dengan dia (jodoh saya) kelak dilimpahkan sakinah mawaddah dan rahmah.